Versi Indonesia
English version
Pengunjung Online : 0
Hari ini :181
Kemarin :788
Minggu kemarin:6.118
Bulan kemarin:41.661

Anda pengunjung ke 4.724.407
Sejak 11 Rabi'ul Awal 1429
( 19 Maret 2008 )


Pengunjung Baru ?
   |   


www.melayuonline.com www.wisatamelayu.com www.rajaalihaji.com www.tengkuamirhamzah.com www.ceritarakyatnusantara.com www.adicita.com www.maharatu.com www.jogjatrip.com www.kerajaannusantara.com www.infokorupsi.com www.indonesiawonder.com
Isnain, 11 Safar 1443 (Minggu, 19 September 2021)
 
12 Februari 2008 03:37
Dua Buah Karya Raja Ali Haji Tentang Bahasa Melayu: Meletakkan Bahasa Melayu sebagai Tradisi Pengajian Bahasa Islam
Dua Buah Karya Raja Ali Haji Tentang Bahasa Melayu: Meletakkan Bahasa Melayu sebagai Tradisi Pengajian Bahasa Islam

Oleh : Profesor Dr Hashim bin Musa

Pendahuluan  

Buku-buku Bustan al-Katibin li Sibyan al-Muta‘allimin (Kitab Perkebunan Juru Tulis bagi Kanak-Kanak Yang Hendak Belajar) dan Kitab Pengetahuan Bahasa: Kamus Loghat Melayu Johor, Pahang, Riau dan Lingga merupakan dua buah karya yang paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang Melayu iaitu Raja Ali Haji daripada Pulau Penyengat di Kepulauan Riau. Karya pertama itu tertulis pada tahun Hijrah 1267 (bersamaan dengan tahun Masihi 1850) dan karya keduanya tertulis pada tahun Hijrah 1275 (tahun Masihi 1858) tetapi dicetak kira-kira 69 tahun kemudian iaitu pada tahun Hijrah 1345 atau tahun Masihi 1927.

Tradisi Pengajian Bahasa Islam
Sesungguhnya dua buah karya tentang bahasa Melayu oleh Raja Ali Haji ini merupakan warisan yang amat berharga yang menjadi penyambung kepada tradisi pengajian bahasa dalam Islam yang bermula sejak zaman awal Islam lagi. Dalam Islam pengajian bahasa khususnya bahasa Arab dan bahasa-bahasa Islam yang lain, merupakan satu ilmu alat untuk mencapai ma‘rifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguhkan keimanan dan ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan yang mulia, iaitu mengandungi antara lain ilmu-ilmu nahu (sintaksis), saraf   (morfologi), qawa‘id (tatabahasa), mantiq (logik), balaghah (retorik), istidlal  (pendalilan), kalam  (penghujahan), dan sebagainya. Raja Ali Haji dalam dua buah buku beliau itu telah meletakkan tradisi pengajian bahasa Melayu berdasarkan maksud dan matlamat pengajian bahasa yang digariskan oleh tradisi pengajian Islam itu. Di sinilahah letaknya keistemewaan tokoh Raja Ali Haji dalam tradisi persuratan Melayu, yang bukan sahaja merupakan ilmuan Melayu yang pertama yang menulis tentang pengajian bahasa Melayu, tetapi juga telah meletakkkan asas pengajian bahasa Melayu pada tempat yang sebenar iaitu sebagai ilmu alat untuk memperolehi ilmu yang benar yang akan membawa kepada keyakinan dan ketakwaan.

Raja Ali Haji dengan jelas dan lantang sekali menyatakan bahawa terdapat kaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan adab sopan yang mulia dan ilmu yang tinggi. Tegas beliau dalam Bustan al-Katibin (halaman 3):

 Adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian barulah kepada kelakuan… Bermula apabila berkehendak kepada menutur ilmu dan berkata-kata yang beradab dan sopan, tak dapat  tiada mengetahuilah dahulu ilmu yang  dua iaitu ilmu wa al-kalam (pengetahuan dan pertuturan). Adapun kelebihan ilmu wa al-kalam amat besar sehingganya mengata setengah hukama‘ segala pekerjaan pedang boleh diperbuat dengan qalam (pena), adapun pekerjaan qalam  tiada boleh diperbuat dengan pedang… Ada beberapa ribu dan laksa pedang yang sedang terhunus, dengan segores qalam jadi tersarung, terkadang jadi tertangkap dan terikat dengan pedang sekali

Tegas beliau lagi dalam Gurindam Dua Belas, fasal yang kelima, iaitu:

            Jika hendak mengenal orang berbangsa,
            Lihat kepada budi dan bahasa.

Dengan berdasarkan falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu yang tinggi, maka Raja Ali Haji telah menghasilkan dua buah karya tentang bahasa Melayu ini. Bustan al-Katibin dihasilkan ketika beliau berumur kira-kira 40 tahun (1850 M), manakala Kitab Pengetahuan Bahasa siap ditulis kira-kira lapan tahun kemudian (1858 M) walaupun dicetak hanya pada tahun 1927 M iaitu kira-kira 55 tahun sesuadah kematian penulisnya yang dianggarkan pada tahun 1872 M.

Bagi Raja Ali Haji, keturunan dan pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur dan adab sopan yang mulia, menjadi sia-sia belaka, seperti kata beliau dalam Bustan al-Katibin (hal.2) “… Jikalau beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke bawah juga jatuhnya.” Dan bagi beliau bahasa ialah wahana untuk mencapai matlamat itu, “… kerana adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya kemudian barulah kepada kelakuan” (Ibid:3). Oleh yang demikian dalam bahagian Mukadimah Bustan al-Katibin, beliau telah menerangkan terlebih dahulu kelebihan ilmu dan akal untuk  meletakkan perspektif dan tujuan yang sebenarnya dalam pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam, seperti tegas beliau dengan memetik sebuah hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam (s.w.a) “Barangsiapa dikehendaki Allah ta‘ala kebajikan diberi faham ilmu al-din yakni ilmu agama. Kalam inilah yang terlebih dahulu dituntut” (Ibid:2). Oleh itu sebelum beliau memulakan penghuraian tentang bahasa Melayu, terlebih dahulu dihuraikan dengan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu, iaitu sebenarnya merupakan asas teknik dan psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh  bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mulia dan dengan ilmu yang sahih dan benar. Penyemaian dan penzahiran adab dalam diri seseorang merupakan prasyarat untuk menyemaikan ilmu yang benar, kerana adab dan ilmu bertimbal balik dalam membantu dan membimbing seseorang manusia untuk mengenal, mengecam dan mengakui taraf dan hirarki atau martabat ilmu dan kewujudan. Tegasnya, penyemaian adab dalam diri seseorang ialah proses pendidikan yang membawa kepada disiplin bagi jasad, akal dan unsur rohniahnya, yang dengan itu akan menyediakan manusia itu untuk mencari, memperolehi dan mengamalkan pula ilmu yang benar sebagai memenuhi objektif daripada proses pendidikan.

Dengan berdasarkan hakikat adab, ilmu dan pendidikan yang demikian, Raja Ali Haji menekankan ketertiban dalam segala sesuatu yang membawa kepada ketertiban ilmu, seperti yang diutarakan oleh beliau dalam Bustan al-Katibin bahagian tentang surat kiriman, iaitu:

“… Tiap-tiap perkara itu ada yang terlebih besar dan yang kecil, ada yang tinggi ada yang rendah, ada yang mulia ada yang hina, ada yang halus ada yang yang kasar… Maka didahulukan yang terlebih besar daripada yang kecil, didahulukan yang tinggi daripada yang rendah… Perkara agama lebih tinggi daripada perkara dunia, dan perkara kerajaan lebih tinggi daripada perkara perniagaan... Perkataan buang air besar  dan buang air kecil terlebih mulia daripada berak dan kencing, dan perkataan bersetubuh lebih mulia daripada berayuk... dan perkataan tuan hamba lebih halus dariapada awak dan lu."

Kaedah menulis surat kiriman, yang diutarakan oleh Raja Ali Haji sebenarnya mengukuh dan mengesahkan darjah ketertiban atau martabat ilmu yang membawa kepada kesahihan dan kebenaran ilmu dalam Islam. Darjah atau martabat yang paling tinggi dalam kewujudan dan kemuliaan ialah Allah subhanahu wa ta‘ala (s.w.t), kemudian Rasulullah s.w.a dan seterusnya ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya radhi Allahu ‘anhu ajma‘in (r.a), iaitu:

Bermula perkataan dalam surat perkiriman itu maka hendaklah dimulai dengan bismil-Lahi r-Rahmani r-Rahim, kemudian alhamdulil-Lah yakni memuji Allah ta‘ala  pada nama munasabah dan waqi‘, kemudian selawatkan Nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya, kemudian diiringi salam ta‘zim… pada orang yang berkirim surat

Tertib demikian sebenarnya mengakui dan mengesahkan ilmu yang benar dalam Islam iaitu meletakkan sesuatu perkara dalam sistem kewujudan pada tempatnya yang wajar dan tepat yang dipatuhi semua oleh penulisan tradisional Islam.

Dalam Kitab Pengetahuan Bahasa prinsip yang sama juga telah diterapkan dalam huraian tentang perbendaharaan kata bahasa Melayu, iaitu meletakkan kedudukan sesuatu dari segi martabat kewujudan, kejadian dan kemuliaan pada tempatnya yang tepat dan wajar. Raja Ali Haji sesuadah menghuraikan dengan ringkas nahu bahasa Melayu berdasarkan konsep, istilah dan huraian nahu bahasa Arab, telah menghuraikan pula makna dan penggunaan kosa kota bahasa Melayu iaitu bermula daripada perkataan yang berhuruf atau berabjad “alif” tetapi sayang hanya sehingga yang berabjad “ca” sahaja dan tidak sehingga ke akhir abjad iaitu perkataan yang berabjad “ya”. Perkataan-perkataan yang terawal yang  dihuraikan oleh Raja Ali Haji yang berpangkalkan abjad “alif” ialah tujuh perkataan utama iaitu “Allah, Ahmad, Ashab, Ahbar, Insan, al-Awwali (al-Dunia), Akhirat”, yang sebenarnya merupakan konsep/istilah kunci yang merujuk kepada ilmu asasi/fundemental yang dapat meletakkan pemahaman/pengenalan yang benar terhadap taraf dan kedudukan yang tepat bagi segala sesuatu dalam seluruh kewujudan dan kejadian iaitu dalam sistem ontologi dan kosmologi Melayu Islam. Seperti kata Raja Ali Haji:

Apabila mengenal ma‘rifat yang tujuh dan pengetahuan yang tujuh serta beriman akan dia, nescaya sempurnalah akalnya dan berbezalah ia dengan binatang pada pihak pengetahuannya. (Kitab Pengetahuan Bahasa:49).

Oleh kerana perkataan yang tujuh ini begitu penting kedudukannya dalam bahasa Melayu, maka Raja Ali Haji telah meletakkannya dalam bab yang tersendiri iaitu Bab Pertama, manakala perkataan-perkataan yang lain semuanya diletakkan dalam bab-bab yang seterusnya.

Mengikut Raja Ali Haji perkataan yang pertama dan paling utama daripada tujuh perkataan itu ialah “Allah” iaitu nama zat Tuhan yang maha tinggi yang wajib wujud dengan sifat-safatNya yang maha sempurna, yang merupakan puncak dalam martabat kewujudan yang daripadaNya segala wujud yang nisbiah/relatif, iaitu segala makhluk ini, bergantung untuk wujud.

Perkataan yang kedua ialah “Ahmad” iaitu nama yang lain bagi Nabi Muhammad s.w.a. sebagai Pesuruh/Rasul Allah untuk menyampaikan dan mengajar umat manusia ilmu yang benar daripada Allah s.w.t., iaitu agama Islam yang boleh membawa manusia kepada kebahagiaan dan kejayaan yang hakiki dan berkekalan.

Perkataan yang kertiga ialah “Ashab” iaitu para Sahabat r.a. Rasulullah s.w.a.  yang merupakan masyarakat Islam yang pertama yang menerima dan mengamalkan sepenuhnya segala ilmu yang benar  itu, iaitu Islam, supaya menjadi contoh tauladan dalam bentuk prinsip dan lunas-lunas asasi cara hendak mengamalkan Islam kepada generasi yang menuruti mereka sehingga ke akhir zaman.

Perkataan yang keempat ialah “Ahbar” iaitu semua alim ulama yang muktabar yang menjadi pewaris dan penyebar agama Islam daripada satu generasi ke satu generasi seterusnya.

Perkataan yang kelima ialah “Insan” iaitu manusia yang dengan hakikat kejadiannya yang mempunyai jasad, akal dan kalbu, merupakan makhluk yang menjadi lokus atau objek yang layak untuk menanggung dan menzahirkan agama Islam di atas dunia ini sebagai satu amanah, dan yang  akan menerima balasan yang setimpal daripada pelaksanaan amanat itu di akhirat nanti.

Perkataan yang keenam ialah “al-Awwali” atau “al-Dunia” iaitu tempat dan satu tahap kehidupan makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t. untuk menzahirkan “sunnatullah” (hukum Allah) dan “qudratullah” (kekuasaan Allah) ke atas semua makhluk, dan yang terlebih utama lagi ialah untuk menzahirkan “shari‘atullah”  (hukum syari‘ah Allah) ke atas manusia. Dunia juga merupakan tempat dan waktu di mana segala amal perbuatan manusia dicatat dan sesudah dihisab  di akhirat, akan diberi balasan yang setimpalnya.

Perkataan yang ketujuh dan terakhir ialah “Akhirat” yang menurut Raja Ali Haji ialah “kesudah-sudahan bagi pekerjaan manusia dan perjalanan anak Adam”, iaitu bermula daripada keluarnya roh daripada badannya (mati), masuk ke alam Barzakh (kubur), kebangkitan di Mahshar, penghisaban (al-mizan), menyeberangi Titian Sirat al-Mustaqim”, dan akhirnya pembalasan dan penempatan yang muktamad, iaitu syurga bagi “ahl al-sa‘adah” (yang beruntung), dan neraka bagi “ahl al-shaqawah” (yang celaka)”.

Demikianlah tujuh perkara yang menjadi asas konsep dan ilmu yang utama yang dikandungi oleh bahasa Melayu yang harus dipelajari dan dimengerti oleh orang Melayu apabila mempelajari bahasanya. Dengan memahami perkara-perkara itu, seseorang Melayu Islam akan memperolehi ilmu yang dapat menerangkan dengan tepat letak dirinya sebagai seorang insan dalam hirarki atau martabat kewujudan seluruhnya (maratib a-wujud) iaitu konsep ontologi, hirarki atau martabat kejadian dan penciptaan alam semesta (maratib al-‘alam) iaitu konsep kosmologi dan hirarki atau martabat ilmu pengetahuan (maratib al-‘ulum) iaitu konsep epistemologi. Umpamanya dengan mempelajari kewujudan Allah s.w.t. melalui sifat-sifatNya, yang dihuraikan sepenuhnya oleh Raja Ali Haji dalam kitab ini, maka seseorang itu akan memahami kewujudan Allah pada martabat Wujud yang tertinggi iaitu “wajib al-wujud”, yang menjadi punca dan sumber pergantungan wujud bagi segala makhluk yang sebenarnya bertaraf “wujud nisbiah (wujud relatif)”. Dengan demikian seseorang itu akan dapat menzahirkan pengakuan pramordial yang dibuat oleh semua manusia semasa berada dalam alam roh seperti yang diisyaratkan dalam al-Qur‘an:

Apabila Rabb kamu mengeluarkan daripada anak Adam – daripada sulbinya – zuriatnya dan menyuruh mereka menaik saksi terhadap dirinya dengan berkata “Bukankah Aku Rabb kamu?”,.Mereka berkata “Benar, kami menyaksinya (shahidna)…” (al-‘a‘raf:172).

Ilmu pengetahuan tentang hakikat dan martabat kewujudan Allah s.w.t. yang demikian sebenarnya berkait rapat dan langsung dengan ikrar seorang Muslim dalam kalimah syahadahnya, iaitu  “Aku bersaksi (ashhadu) bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah”. Oleh itu bagi Raja Ali Haji ilmu yang utama dan pertama yang harus dipelajari oleh orang Melayu Islam tentang perkara yang dikandungi oleh bahasanya ialah ilmu tentang Allah s.w.t. Prinsip ini meletakkan tujuan utama dalam pengajian ilmu bahasa (iaitu mengikut Raja Ali Haji dengan menurut pendapat Iman al-Ghazali,) yang mengandungi “ilmu mantik, kalam dan istidlal” adalah untuk memperolehi ilmu yang benar tentang seluruh kewujudan dan juga penciptaan seperti yang didukung oleh tujuh kata kunci itu.

Oleh yang demikian matlamat utama dalam pengajian dan pembelajaran bahasa bukan setakat mengetahui selok belok binaan bahasa, bunyi dan ejaannya, perkataan dan kosa katanya, dan binaan ayat, klausa, dan frasanya sahaja, malah lebih daripada itu adalah untuk mempelajari bagaimana hendak menggunakan bahasa supaya tercapai ilmu yang benar. Ilmu yang benar ialah ilmu yang boleh membimbing manusia kepada pengenalan, pengecaman dan pengesashan kedudukan yang tepat dan wajar bagi segala benda dalam alam ciptaan ini, yang dengan demikian akan membawa kepada pengenalan dan pengiktirafan kepada kedudukan yang tepat dan wajar bagi Tuhan dalam pentarafan kewujudan seluruhnya. Untuk mencapai matlamat inilah, maka Raja Ali Haji telah mengarang Kitab Pengetahuan Bahasa yang merupakan sebuah kamus besar yang menghuraikan makna secara terperinci bagi perkataan-perkataan yang biasa digunakan dalam bahasa Melayu, dengan memberi keutamaan kepada kata-kata kunci yang menjadi asas pembinaan konsep-konsep tentang sistem-sistem ontologi (wujud), kosmologi (‘alam) dan juga epistemologi (‘ilmu)  Melayu Islam.

Penulisan kamus yang menghuraikan secara terperinci makna perkataan, terutama sekali istilah dan ungkapan yang merupakan kata kunci utama dalam pembentukan medan makna (semantic field)  yang membentuk struktur pengkonsepsian Melayu Islam yang berdasarkan al-Qur‘an dan al-Hadith, sebenarnya merupakan satu tradisi kesarjanaan Islam yang turun-temurun daripada zaman awal Islam lagi. Prof. S. M. Naquib al-Attas (1991:3) telah menyebut bahawa asas penghuraian, penilaian dan pensahihan makna perkataan dan ungkapan secara autentik dan autoritatif telah diterokai oleh seorang Sahabat Rasulullah s.w.a.iaitu Ibn Abbas r.a. dalam usaha mentafsir ayat-ayat al-Qur‘an, iaitu:

 During his (Ibn Abbas‘) times, the process of testing the aunthenticity of meaning, and establishing the highest authorities with respect to  the words, meanings, grammar and the prosody of the classical Arbic language, was already under way, and by the second century after Hijrah, the methodological division into four groups designed to determine and establish authentic authorities on all aspects of the Arabic language, such as the jahili, mukhadram, Islmi  and the muwallid,  was completed. (Dalam hayat beliau (Ibn Abbas r.a.), usaha-usaha menguji kesahihan makna dan menubuhkan autoriti yang tertinggi terhadap perkataan, makna, nahu dan prosodi dalam bahasa Arab klasik sudah bermula, dan menjelang abad kedua Hijrah pembahagian perkaedahan kepada empat kumpulan iaitu “jahili, mukhadram, Islami, muwallid”, untuk menentu dan menubuhkan autoriti dalam segala aspek bahasa Arab, telah tercapai)”. 

Akibat daripada keperluan untuk membuat penelitian, pengkajian dan penghuraian tentang perkataan dan ungkapan dari segi autoriti dan kesahihan maknanya, tegas Prof. S. M. Naquib al-Attas(Ibid), maka sebarisan sarjana bahasa Arab telah muncul untuk menghasilkan karya-karya tentang kajian perkataan, istilah dan kamus yang sesetengahnya mencapai 60 jilid tebalnya. Antara karya-karya yang disebut oleh S. M. Naquib al-Attas ialah Kitan al-‘Ain oleh al-Khalil (meninggal 160 H), Jamharah oleh Ibn Duraid (meninggal 321 H), Mujmal oleh Ibn Fais (meninggal 390 H), Sihah al-Jauhari (meninggal 398 H), Asas oleh Zamakhsari (meninggal 538 H), Lisan al-Arab oleh Ibn Manzur (meninggal 711 H), Qamus dan Lami‘ oleh al-Fayruzabadi (meninggal 816 H), Mughni oleh Ibn Hisham (meninggal 716 H), Taj al-Arus oleh al-Zabidi (meninggal 1205 H)., dan lain-lain lagi. Melalui huraian, pengesahan, penilaian, dan pensahihan makna perkataan dan ungkapan yang mendalam dan terperinci, maka bahasa Arab, mengikut Prof. S. M. Naquib al-Attas lagi, telah memperolehi ketepatan dan ketekalan dari segi kemurnian dan kewibawaan maknanya, melalui tiga proses: (1) penubuhan struktur tatabahasanya yang didasarkan di atas sistem kata akar yang tepat dan tekal, (2) struktur semantik dikawal oleh sistem medan mkna yang ditakrifkan secara tepat yang dapat menetukan struktur pengkonsepsian yang terdapat dalam kosa katanya yang juga ditetapkan secara tekal oleh kaedah (1) di atas, dan (3) perkataan, makna, tatabahasa dan prosodi telah dirakamkan secara ilmiah/saintifik supaya terjaga ketekalan maknanya. Dengan demikian bahasa Arab telah mencapai tahap kemurnian dan kewibawaan semantik yang boleh menyampaikan makna yang tepat dan jitu secara ilmiah, terutama sekali untuk menyampaikan makna kebenaran yang mutlak dan objektif.

Adalah sangat munasabah sekali, dengan melihat latarbelakang pendidikan Raja Ali Haji,  untuk mengatakan bahawa tujuan dan maksud beliau menyusun dua buah buku tentang pengajian bahasa Melayu ini adalah untuk memenuhi ketiga-tiga matlamat yang tersebut di atas yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam yang terulung di Asia Tenggara. Melalui dua buah karya yang tersebut di atas, Raja Ali Haji dapat mewujudkan penghuraian tentang bahasa Melayu yang tekal, ringkas, padat dan rapi dari segi ejaan dan tatabahasanya, dan yang sahih, berwibawa dan tekal dari segi permaknaan kosa kata dan ungkapannya iaitu diwakili oleh sistem medan makna yang diberikan takrif yang jelas dan tepat berdasarkan autoriti al-Qur‘an dan al-Hadith. Sebagai contoh penghuraian beliau tentang erti perkataan “bahagia” ditunjangi oleh konsep medan makna yang dikaitkan dengan autoriti al-Qur‘an dan al-hadith, iaitu:

 Bahagia ini bermkna dengan makna untung dan tuah, akan tetapi sungguhpun bermakna untung dan tuah bukannya seperti makna untung dan tuah orang yang jahil yang menyangka makna untung dan tuah mendapat kekayaan dunia dan mendapat kebesaran dunia…. kerana menyertai untung dan tuah (demikian) beberapa rugi dan celaka… iaitu berbangkitlah nafsu dan syahwah ni‘mat kesenangan dan kemegahan… Syahadan nyatalah makna bahagia itu iaitu negeri akhirat jua. Bermula tuah itu iaitu janji seorang yang tersebut azalnya, demikian lagi celaka demikian itu jua, seperti kata Sahib al-Jauhari (maksudnya) kemenanganlah orang  yang bertuah itu kepada azalnya, demikian lagi orang yang celaka pada azalnya jua. .. Adalah dikehendaki tuah iaitu orang yang mati dalam imannya husn al-khatimah (penyudahan yang baik) dan jikalau terdahulu kafirnya sekalipin…. Janji celaka masuk neraka Jahanam, dan janji bertuah masuk syurga jua, seperti firman Allah (dalam al-Qur‘an, maksudnya)  “Bahawasanya yang orang berbuat kebajikan itu di dalam syurga, dan orang yang berbuat ma‘siat itu di dalam neraka adanya”. (Kitab Pengetahuan Bahasa, h. 296-298)

Jelaslah pandangan Raja Ali Haji tentang pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu berkait rapat dengan pandangan jagat atau weltanschauung/world view beliau sebagai seorang Melayu Islam yang melihat hakikat kewujudan dan kejadian alam semesta dan manusia di dalam lingkungan kewujudan Tuhan yang wajib wujud, yang menjadi tempat pergantungan wujud bagi segala wujud yang lain. Oleh itu pengajian, penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya menjadi sebagai satu alat dan wahana yang membawa ke arah pengenalan, pengertian, pemahaman, pengucapan, pengungkapan, penyampaian, pemujaan, pemujian dan pengakuan terhadap Allah Tuhan yang wajib wujud, yang dengan itu akan membawa kepada keadilan, kebahagiaan dan keberuntungan di dunia dan juga di akhirat.

Pandangan Beberapa Orang Sarjana Semasa Tentang Karya Bahasa Raja Ali Haji 

Maksud dan matlamat tulisan Raja Ali Haji yang sedemikian  tidak akan disedari dan difahami oleh para pengkaji yang berlatarbelakangkan tradisi kesarjanaan Barat yang kononnya bersikap objektif dan rasionalistik. Misalnya Teeuw (1961:26) menyatakan bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa… is rather a sort of unsystematic encyclopedia (satu macam ensiklopedia yang tidak sistematik)”. Bahkan T. Iskandar dan Za‘ba juga tidak dapat meletakkan karya-karya tentang bahasa Melayu oleh Raja Ali Haji itu pada tempatnya yang tepat dan wajar. Kata Za‘ba (1940:143) tentang Kitab Pengetahuan bahasa “… (an) encyclopedia of the author‘s general knowledge, opinions and impressions, set forth under the words he professes to define (sebuah ensiklopedia tentang ilmu pengetahuan umum, pendapat dan pandangan pengarangnya yang diatur berdasarkan entri perkataan yang hendak ditakrifkannya)”. T. Iskandar pula berkata (1964:535) “Kitab Pengetahuan Bahasa (ialah) sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum dan pendapat serta pandangan pengarang tentang kata-kata yang dimasukkan ke dalam buku ini”. Harimurti Kridalaksana (1983) walaupun lebih bersimpati terhadap kedua-dua karya Raja Ali Haji itu kerana menilainya di atas meritnya tersendiri, juga tidak dapat menyatakan bahawa tujuan dan maksud Raja Ali Haji dalam kedua-dua karya beliau itu merupakan penerusan dan kesinambungan tradisi kesarjanaan Islam dalam pengajian bahasa, seperti yang dinyatakan di atas.

Demikianlah, matlamat utama dalam pembelajaran bahasa bukan setakat untuk mengetahui selok belok binaan bahasa, tentang sejarah dan perkembangannya, tetapi melebihi itu semua adalah untuk mempelajari bagaimana hendak menggunakan bahasa dengan betul supaya tercapai ilmu yang benar yang boleh membimbing manusia kepada pengenalan, pengecaman dan pengesahan kedudukan yang tepat dan wajar bagi segala benda dalam pentarafan penciptaan alam semesta ini, yang dengan itu akan membawa kepada pengenalan, pengesahan dan pengakuan akan kedudukan yang tepat dan wajar bagi Tuhan dalam martabat kewujudan seluruhnya. 

Raja Ali Haji telah meletkakkan dasar pembelajaran bahasa demikian secara bertulis dalam kedua-dua buah buku beliau itu, buat pertama kali dalam sejarah perkembangan tamadun Melayu Islam. Buku-buku beliau itu mengikut U. U. Hamidy (1981:45) telah diterima pakai sebagai teks rujukan dan pengajaran pada penghujung abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh di madrasah-madrasah dan sekolah di Kepulauan Riau, Johor dan Singapura.  Di sinilah letaknya nilai dan harga yang amat tinggi pada kedua-dua buah karya Raja Ali Haji tentang pengajian dan pembelajaran bahasa Melayu yang kini sudah amat jauh tersimpang daripada tradisi pengajian dan pembelajaran bahasa dalam Islam. Sesungguhnya menjadi satu mala petaka, satu bala, satu tragedi yang besar kepada orang Melayu Islam kini, apabila di dalam pengajian dan pembelajaran bahasa ibundanya, konsep-konsep utama yang menjadi asas pembentukan kefahamannya terhadap sistem kosmologi, ontologi dan epistemologinya yang benar dan tepat tidak dapat disampaikan lagi. Konsep  adab yang sebenar sebagai satu kaedah disiplin yang membolehkan seseorang Melayu mengenali tertib kedudukan dirinya dalam masyarakat dan alam sekitarnya yang nyata yang ghaib dengan tepat dan wajar, tertib kedudukan ilmu, yang semua itu akan membawa kepada pengenalan dan pengakuan terhadap kedudukan Tuhan yang tertinggi dalam seluruh martabat kewujudan, hanya boleh disemai melalui pengajaran bahasa, ilmu dan adab yang telah diperturunkan kepada seluruh masyarakat Islam dari zaman permulaan Islam lagi, yang melalui dua buah karya itu, telah cuba disemai oleh tokoh Raja Ali Haji.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa akibat daripada latar belakang pen­didikan Raja Ali Haji, dalam kedua-dua buah karya itu, seluruh huraiannya dalam bidang fonologi, morfologi dan sintaksis bahasa Melayu berda­sarkan kaedah huraian dan konsep tatabahasa Arab; bahkan selu­ruh istilahnya dipinjam secara langsung daripada bahasa Arab. Hakikat inilah yang menyebabkan Teeuw (1961:23), menegaskan bahawa karya itu merupakan "...a distant offshoot of Arabic language study". T. Iskandar (1964/1987:134) mengulas bahawa karya Raja Ali Haji itu terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian tentang penulisan bahasa Melayu yang mengikutnya agak berhasil, dan bahagian yang satu lagi tentang nahu bahasa Arab yang disesuaikan dengan bahasa Melayu yang dianggapnya tidak berhasil kerana "...ayat-ayat yang terdapat di dalamnya kaku seakan-akan ayat Arab dengan kata-kata Melayu".

Mohd. Taib Osman (1967/1987:158) sebaliknya tidak berapa selari dengan pendapat pengkaji barat misalnya van Ronkel (1901) yang mengata­kan bahawa Bustan al-Katibin sebenarnya bukanlah sebuah karya tentang nahu bahasa Melayu, bahkan merupakan penggunaan nahu Arab ke atas bahasa Melayu. Tegas Mohd. Taib Osman (Ibid) "Adalah susah juga untuk mengatakan bahawa si pengarang telah cuba mengenakan nahu Arab ke dalam bahasa Melayu ataupun seba­liknya". Namun Mohd. Taib Osman tidak memberi alasan terhadap pendapat beliau itu. Sebaliknya beliau telah mengutarakan pendapatnya tentang kedudukan Raja Ali Haji sebagai pujangga Melayu bercorak klasik, elita istana yang mahir dalam bahasa Arab dan agama Islam, dan yang masih mempertahankan tradisi penulisan secara Melayu klasik dengan bahasa Melayu yang bukan Melayu tetapi bahasa Arab yang diMelayukan, dan dengan parapha­nalia persuratan klasik seperti pendahulaun dengan Basmalllah, kalimah-kalimah pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulul­lah s.w.a., seperti yang dikemukakan dalam  Bustan al-Katibin.

Oleh kerana seperti yang dikatakan di atas, latar belakang pendidikan Raja Ali Haji ialah Agama Islam dan bahasa Arab, maka tentu sekali karya beliau tentang bahasa Melayu ini yang merupakan usaha yang julung-julung kali dilakukan oleh seorang Melayu, diwarnai oleh konsep dan kaedah huraian tatabahasa Arab. Ciri-ciri demikianlah yang menyebabkan pengulas-pengulas karya beliau itu memperkecilkan sumbangan beliau itu, sehingga Teeuw (1961:23) mengetepikannya sama sekali sebagai satu buku teks tatabahasa dan menegaskan ianya lebih banyak merupakan "...an elaborated spelling text book...", yang sebenarnya memba­yangkan kedengkelannya tentang tujuan kitab ini ditulis (seperti yang dinyatakan dalam bahagian Mukadimahnya), yang boleh disimpulkan kepada tiga perkara berikut:

1) menyebarkan ilmu pengetahuan iaitu tentang ilmu bacaan dan tulisan (istilah beliau ialah "ilmu wa al-qalam") yang menjadi asas pembinaan akal dan adab kerana seperti kata beliau "...jikalau berapa pun bangsa itu jika tiada ilmu dan akal dan adab ke bawah juga jatuhnya...(dan) adab dan sopan itu daripada tutur kata (kemahiran bahasa) juga asalnya kemudian baharulah kepada kelakuan..."; untuk memenuhi tujuan ini Raja Ali Haji bukan sahaja menghuraikan kaedah ejaan Jawi, bentuk dan fungsi perkataan serta binaan sintaksis, tetapi juga tentang kaedah penulisan surat, pelbagai gaya dan wacana bahasa atau "uslub" dan sebagainya,

2) memperbetul kesalahan-kesalahan dan penyelewengan yang dibuat oleh juru-juru tulis yang tiada ilmu  persuratan yang sempurna yang "...mendapat sedikit-sedikit daripada pekerjaan surat atau menyurat pada hal dapatnya itu dengan mendengar-dengarkan atau melihat-lihat sahaja dengan tiada petua daripada guru yang tahu dengan sebenarnya..."; kesalahan-kesalahan itu terutama sekali berlaku dalam ejaan Jawi dan juga penggunaan imbuhan dan pembentukan ayat,

3) memenuhi permintaan masyarakatnya yang ingin belajar "ilmu wa al-qalam" ini seperti kata beliau "...sekadarkan dari­pada sangat hajatku atas sanak saudaraku yang mereka itu bela­jar dan mengajar surat menyurat dengan tiada suatu jalan dan pokok yang diambilnya kaedah, daripada atas sebab itulah jadi aku tawakal kepada Allah serta mengharap akan ampunnya maka aku perbuat juga kitab ini...".

Beberapa perkara  yang boleh dinyatakan tentang penghuraian beliau terhadap tatabahsa Melayu yang menggunakan kaedah tata­bahasa Arab, iaitu:

1) ilmu pengetahuan dan persuratan Melayu pada zaman Islam dan sebelum penjajahan Barat, seperti yang diketahui berkait rapat dengan agama Islam. Golongan inteligentia  dan cendekia­wan Melayu pada zaman itu juga merupakan ulama‘ yang fasih dalam bahasa Arab seperti yang ada di Aceh, di Pasai, di Mela­ka, di Riau dan lain-lain. Oleh itu bagi Raja Ali Haji menjadi satu perkara yang lumrah dan biasa untuk mengaitkan kepandaian, keilmuan dan kebijaksaan orang-orang Melayu dengan agama Islam dan juga dengan bahasa Arab yang menjadi bahasa pengantar al-Qur‘an, al-Hadith dan kitab-kitab agama Islam yang lain. Dengan sebab itulah  Bustan al-Katibin yang menjadi teks pengaji­an bagi anak-anak yang belajar kemahiran menulis dan membaca dalam bahasa Melayu dan juga kamus Kitab Pengetahuan Bahasa, penuh dengan kutipan ayat-ayat al-Qur‘an, al-Hadith dan juga ucapan-ucapan hukama‘, ulamak  dan sebagai­nya dalam bahasa Arab yang diberikannya makna Melayunya. Orang-orang Barat dan juga orang-orang Timur yang terdidik melalui sistem dan cara berfikir Barat sama ada tidak memahami hakikat ini ataupun sengaja meremehkan nilai ilmu pengetahuan Islam dan bahasa Arab itu, terus melepaskan kritikan berdasarkan sudut pandangan dan latar belakang tamadun Barat bukan-Islam dan terus-menerus memperkecilkan sumbangan Raja Ali Haji ini.

2) Bagi Raja Ali Haji sebagai seorang yang mahir dalam bidang tatabahasa Arab, tentu sekali menjadi perkara yang lumrah baginya untuk menghuraikan bahasa Melayu berdasarkan teori dan kaedah huraian bahasa Arab iaitu satu-satunya kaedah huraian bahasa yang diketahuinya, sepertilah halnya ahli-ahli bahasa Melayu separuh kedua Abad ke-20 ini, banyak menggunakan teori-teori tatabahasa Eropah misalnya teori tatabahasa tradisional oleh Za‘ba, Alisjahbana dan lain-lain, teori tatabahasa struk­tural, tatabahasa tagmemik,  tatabahasa transformasi-generatif, dan teori-toeri bahasa Barat yang lain lagi misalnya yang menarik minat terbaru sekarang ini ialah teori analisis wacana. Jadi tidak adil sama sekali untuk mengkritik Raja Ali Haji di atas penggunaan teori tatabahasa Arab untuk menghurai tatabahasa Melayu. Namun hakikat ini tidaklah sepatutunya mengenepikan kelemahan beliau yang membuat ayat-ayat bahasa Melayu di atas acuan struktur ayat bahasa Arab yang memang sangat lumrah dilakukan oleh penulis-penulis pada zaman itu terutama sekalai dalam wacana agama Islam. Dalam wacana penulisan sejarah seperti dalam buku Tuhfat al-Nafis, Silsilah Melayu dan Bugis dan syair-syairnya, Raja Ali Haji menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan fasih seperti yang tertera dalam petikan-petikan berikut:

"Alkisah maka tersebutlah Yang Dipertuan Muda Daeng Kembo­ja serta Raja Haji Kelana di dalam negeri Riau. Maka tiadalah lain perkataannya melainkan membesarkan perniagaan di dalam negeri Riau. Maka datanglah beberapa buah perahu dagangan dari jauh datanglah kapal-kapal dan kici-kici dari Benggala berpu­luh-puluh buah, dan dari China datang pula wngkang-wangkang kepala hijau dan kepala merah berpuluh-puluh buah, datang pula tob-tob dari Siam membawa beras dan lainnya dan perahu Jawa demikian juga apa lagi perahu dari Bugis dan apa lagi perahu-perahu dari rantau-rantau, bercocok ikanlah di dalam Sugai Riau dari Kuala sampai ke Hulu Riau. Maka berpalu‘-palu‘lah dagangan Cina dengan dagangan Jawa dan demikian juga berpalu‘ dagangan Jawa dengan dagangan Raiu seperti gambir. Maka banyaklah sauda­gar-saudagar Cina apa lagi Bugis banyaklah yang kaya-kaya. Maka pada masa itu banyaklah orang-orang kaya Riau." (Tuhfat al-Nafis (1865), petikan Hasan Junus, 1988:181-182). 

"Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihat kepada budi dan bahasa
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
Yang memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang yang berakal
Di dalam dunia mengambil bekal
.............................."

(Gurindam Dua Belas (1846/47) Fasal yang kelima, petikan Hasan Junus, Ibid:217)    


Kesimpulan

Oleh yang demikian jika ulasan dan kritikan terhadap karya Raja Ali Haji ini dilihat dari sudut zaman dan masyarakatnya dan juga dari sudut keseluruhan sumbangan beliau sendiri, tentu sekali akan menjadi lebih saksama dan seimbang seperti yang dilakukan oleh Harimurti Kridalaksana (1979, 1982, 1983), U.U. Hamidy (1981) dan yang terbaharu Hasan Junus (1988).

Bahkan kesan tulisan-tulisan Raja Ali Haji tentang bahasa Melayu ini terutama sekali Bustan al-Katibin, ke atas masyarakat Melayu Riau-Lingga, tentunya amat besar sekali. U. U. Hamidy (1981:45) menegaskan bahawa "...pada dasarnya buku Bustan al-Kitibin adalah tataba­hasa standar (normatif) untuk bahasa Melayu Riau. Buku ini dipakai pada sekolah-sekolah kerajaan di Riau dan Singapura." Kemungkinan besar hasil daripada asuhan yang berasaskan buku-buku teks bahasa dan persuratan Melayu ini dan juga buku-buku lain karangan Raja Ali Haji dan pengarang-pengarang yang lain lagi, maka telah lahirlah sebarisan para penulis dan cendekiawan Riau-Lingga.     

Seterusnya, seperti yang disebut oleh U. U. Hamidy (1980:16) atas daya usaha Raja Muhammad Yusoff al-Ahmadi Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 (1858-1899), tertubuh pula sebuah perpustakaan yang kemudiannya dinamakan Kutub Khanah Marhum, yang memuatkan buku-buku yang dibeli daripada Kaherah dan Juga India. Dalam zaman pemerintahan Raja Muhammad Yusoff juga telah tertubuh Rushdiah Club kira-kira pada tahun 1892, sebagai sebuah badan cendikiawan dan juga persuratan yang bergiat dalam politik, agama dan kebudayaan dengan dua orang tokoh utamanya Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (U.U. Hamidy, Ibid:15-16). Untuk  menerbitkan hasil tulisan anggota Rushdiah Club itu dan juga untuk penyebarannya ke seluruh Kepulauan Riau, maka ditubuhkan di Pualu Penyengat  badan Percetakan Matba‘ah al-Riauwiyah/al-Ahmadiah sekitar tahun 1894 (yang mengikut  W. M. Saghir Abdullah (1997:8) merupakan syarikat percetakan yang sama sekali berbeza dengan al-Ahmadiah Press yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1920).

Demikianlah besarnya peranan kegiatan persuratan dan keintelektualan Raja Ali Haji dalam proses pertumbuhan Riau sebagai pusat kebudayaan dan persuratan Melayu dalam abad ke-19 M.

                                                                            ----------------------ooOoo--------------------

Rujukan

  • Ali al-Khuli, Muhammad, Dr., (1982) A Dictionary of Theorecti­cal Linguististics: English-Arabic with Arabic-English Glos­sary, Librairie du Liban, Beirut.
  • Ali Haji, Raja, (1267 H/1850 M), Kitab Bustan al-Katibin li-Sibyan al-Muta‘allimin, naskhah manuskrip dalam bentuk salinan foto berasaskan mikrofilem Universiti Malaya (M/F 1668), berda­sarkan naskah koleksi Klinkert 107 Leiden University.
  • ---------, (1274 H/1858 M), Kitab Bustan al-Katibin li-Sibyan al-Muta‘allimin, naskhah cetakan litograf di Perpustakaan School of Oriental and African Studies, University of London.
  • Anwar, Moch. H.,(1990), Terjemahan Matan Alfiah Ibn Malik, Pt. al-Ma‘arif, Bandung.
  • Cik Putih Ismail, (1980), Bibliografi Tatabahasa Bahasa Melayu, stensilan Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
  • Cowan, David, (1970) Modern Literary Arabic, Cambridge Univer­sity Press, London.
  • Hamidy, U. U. (1981), Riau Sebagai Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Bumi Pustaka, Pekanbaru.
  • Harimurti Kridalaksana, (1979) Suatu Rintisan Historiografi Linguistik Indonesia, Yokyakarta.
  • ---------, (1982) Bunga Rampai Sejarah Studi Bahasa Indonesia, Fakultas Sastera Universitas Indonesia, Jakarta.
  • ---------, (1983) "Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa - Sumbangan Raja Ali Haji dalam Ilmu Bahasa Melayu", kertas kerja Hari Sastera Johor.
  • Hasan Junus, (1988) Raja Ali Haji - Budayawan di Gerbang Abad XX, Universitas Islam Riau, Pekanbaru.
  • Idris Abdul Raof al-Marbawi,  Muhammad, (1350 H/1931 M) Kamus al-Marbawi, Matba‘ah Mustafa al-Babi, Kaherah, Mesir.
  • Iskandar, T. (1964) "Raja Ali Haji Tokoh dari Pusat Kebudayaan Riau Johor", Jurnal Dewan Bahasa 7:12, dan dalam Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik, (ed) Muhamad Daud Muhamad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala lumpur, 1987.
  • Mohd Taib Osman, 1976 "Raja Ali Haji of Riau: A Figure of Transition or The Last of The Classical Pujanggas?", Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur, dan dalam Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik (ed) Muhamad Daud Muhamad, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987.
  • Ronkel, Ph. S. van, (1901) "De Maleische Schriftleer en Spraak­kunst Gestitled Boestanoe‘l Katibina", Tijdchrift voor Indische Taal-, Land-en Volkenkunde uitgegeven door het (Koninklijk) Bataviaasch Genootschap van Kunsten en Wetenschappen (TBG) 44:498-523.
  • Teeuw, A., (1961) A Critical Survey of Studies in Malay and Bahasa Indonesia, S‘-Gravenhage - Martinus Nijhoff.
  • Wall, H. von de, (1870) "Boekbeoordeeling: Kitab perkeboenan djoeroetoelis bagi kanak-kanak jang hendak berladjar akan dija" TBG 19:565-74.

______________________

Profesor Dr Hashim bin Musa adalah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Dibaca 7.737 kali

Sila Tulis Komentar Anda Disini !



Artikel terkait